PENAJA - IKLAN BERBAYAR
Sambutan Maal Hijrah - Signifikan di sebalik kebangkitan seluruh Ummah
Tanggal 1 Muharram merupakan detik yang bersejarah buat umat Islam
keseluruhannya. Tarikh tersebut merupakan hari pertama dalam perkiraan
tahun hijrah buat umat Islam. Menyingkap kembali sejarah peristiwa
hijrah Rasul dan para sahabat, terkandung di dalamnya pengajaran dan
hikmah buat perkembangan Islam itu sendiri. Peristiwa ini juga telah
menyaksikan pengorbanan para sahabat yang cinta mereka tidak berbelah
bahagi terhadap Rasulullah SAW.
Antaranya keberanian Saidina Ali r.a yang sanggup menggantikan
Rasullullah SAW di tempat tidur baginda walaupun pada ketika itu
orang-orang kafir Quraisy sedang berkawal di luar rumah bagi menangkap
Rasullah SAW. Kesanggupan Saidina Ali menempa maut di tangan orang kafir
Quraisy dengan menggantikan Rasullullah di tempat tidur baginda bagi
menjayakan perancangan hijrah Rasulullah SAW menjadi bukti kecintaan
beliau yang tidak berbelah bahagi kepada Rasulullah.
Peristiwa pengorbanan Saidina Ali ini merupakan secebis daripada
peristiwa pengorbanan para sahabat. Banyak lagi kisah pengorbananan yang
telah dilakukan oleh para sahabat demi Rasulullah yang tercinta.
Begitulah para sahabat nabi yang cinta mereka bukan sekadar bermain di
bibir bahkan dibuktikan melalui perbuatan dan tindakan mereka.
Berbicara tentang Hijrah Rasul, sebenarnya kita sedang membicarakan
tentang sejarah. Apabila berbicara tentang sejarah, kita harus sedar
bahawa sejarah sebenarnya merupakan bicara Allah kepada hamba-hambanya
yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar tetapi mampu disedari melalui
mata hati. Dengan erti kata lain peristiwa hijrah ini mengandungi hikmah
yang harus diterokai sebagai pedoman buat generasi seterusnya.
Sesungguhnya Allah tidak akan menjadikan sesuatu perkara secara sia-sia.
Persoalannya, adakah kita generasi kini menyedari hikamah dan pengajaran
yang tersurat dan tersirat yang terkandung di dalam hijrah Nabi sebagai
pedoman dalam kehidupan kita? Saban tahun kita meraikan sambutan 'Maal
Hijrah', namun apakah ianya merupakan sambutan semata-mata? Apakah yang
kita fahami tentang hijrah? Adakah hijrah sekadar perpindahan yang
berbentuk fizikal semata-mata?
Persoalan ini harus kita rungkaikan supaya hikmah dan pengajaran di
sebalik peristiwa hijrah Rasulullah SAW ke Madinah dapat difahami dan
dihayati. Dari sudut bahasa, hijrah bermaksud berpindah dari satu tempat
ke satu tempat atau berubah dari satu keadaan kepada satu keadaan lain.
Dari sudut istilah pula, hijrah adalah meninggalkan sesuatu yang
dilarang. Ini berdasarkan hadis daripada Abdullah bin Habsyi, bahawa
Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: �Orang yang berhijrah ialah
orang yang meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh Allah.� (Hadis
riwayat Abu Dawud)
Hijrah bermaksud meninggalkan larangan Allah
Daripada kenyataan ini dapatlah kita fahami bahawa hijrah bukan sekadar
berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain semata-mata tetapi hijrah
juga ialah perpindahan dari suatu keadaan tidak baik kepada keadaan yang
lebih baik. Contohnya, meninggalkan ajaran bertentangan dengan Islam dan
kembali kepada ajaran Islam sebenar.
Hijrah Rasulullah S.A.W memberi iktibar kepada kita mengenai fungsi dan
peranan kita sebagai umat Islam tidak terhenti setakat ibadat khusus
semata-mata. Lebih luas daripada itu peranan kita adalah sebagai
khalifah Allah di muka bumi. Di antara tugas-tugas sebagai khalifah
adalah seperti yang dijelaskan oleh Al-Mawardi dalam kitabnya Al-Ahkam
As-Sultaniah iaitu menjaga agama dan mentadbir dunia.
Dua perkara ini tidak mampu direalisasikan tanpa semangat jihad dalam
diri kita. Jihad merupakan pengorabanan dari pelbagai aspek demi
memastikan tertegaknya Islam di muka bumi ini. Melawan nafsu juga
merupakan suatu jihad. Namun dalam konteks hari ini, semangat jihad
sudah kian hilang di hati umat Islam. Umat Islam hari ini lebih
mementingkan nafsu daripada kecintaan kepada Allah dan Rasul-Nya.
Umat Islam sesama sendiri berkelahi kerana pangkat, harta dan wanita.
Adakalanya umat Islam sendiri sanggup berkomplot dengan golongan kuffar
demi kepentingan tertentu. Sekiranya inilah perangai kita, apakah kita
layak digelar sebagai khalifah Allah.?
Marilah kita mencontohi para sahabat yang sanggup berkorban demi
kepentingan Islam. Sesungguhnya Hirah tidak akan berjaya dilaksanakan
tanpa jihad, perpaduan dan kecintaan terhadap Allah. Apa maknanya kita
menyambut sambutan Maal Hijrah jika kita semakin jauh dengan Islam?
Apakah ertinya kita menghayati sambutan Maal Hijrah. jika jihad masih
disalah anggap dan menjadi satu istilah yang amat menakutkan. Apalah
gunanya sambutan Maal Hijrah yang kita sambut jika perubahan yang ada
hanyalah menunjukkan umat Islam bertambah lemah dan menjadi mangsa
penindasan barat malah terus dihina dan dicerca dengan tuduhan sebagai
pengganas dan pemecah-belah.
Seharusnya peristiwa hijrah telah mengajar kita bahawa perpaduan amat
penting dalam kita membangunkan sesebuah negara. Cuba kita renungkan
kembali bagaimana perpaduan yang telah terjalin anatara kaum Muhajirin
dan Ansar di bawah bumbung Islam telah berjaya mambentuk khilafah
Islamiyah. Dalam konteks kehidupan masyarakat majmuk di Malaysia yang
menyaksikan bangsa, kaum dan etnik, maka amat wajar umat Islam di
Malaysia mempamerkan semangat toleransi dan kasih sayang selari dengan
ajaran Islam yang amat menitik beratkan soal kedamaian sejagat dan
kesejahteraan ummah.
Peristiwa hijrah juga memperlihatkan kepada kita komitmen Rasulullah
sebagai seorang pemimpin dalam memastikan tertegaknya ummah yang
beriman, bertaqwa, bersatu padu dan hormat menghormati, baik sesama
mereka mahu pun orang bukan muslim. Inilah sikap yang perlu ada dalam
diri seorang pemimpin.
Sesungguhnya di sebalik peristiwa hijrah terkandung pelbagai lagi
iktibar dan pengajaran yang dapat kita perolehi. Soalnya lagi sejauh
mana kita benar-benar menghayati sambutan maal hijrah dalam memberikan
kesan yang positif terhadap diri kita? Hijrah menuntut perubahan dari
segala aspek ke arah kebaikan. Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa
orang yang beruntung adalah mereka yang hari ini lebih baik dari
semalam. Marilah sama-sama kita menjadi mereka yang beruntung. - Harakah Daily-
Semoga bersama kita berusaha memperbaiki diri kita dan juga menunaikan azam yang kita sematkan sempena dengan tahun maal hijrah yang baru ini.....sayang tak ada bunga api tak ada khemah di dataran merdeka untuk solat kesyukuran beramai ramai... tak ada konsert BESAR untuk nasyid....
Yang ada hanyalah orang orang tua di masjid di atas tikar sejadah dengan doa kesyukuran dan beberapa kerat anak muda yang bersama sama mensnyukuri nikmat yang diberi
Related Posts : Hijrah.,
Maal Hijrah
Labels:
Hijrah.,
Maal Hijrah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Online User
2 Dakwat Tumpah:
salam maal hijrah
~_^
lama xjenguk sini...
salam maal hijrah ye asy :)
Post a Comment